SEPANGAR, 23 Ogos 2018 - Majlis Qurban dan Aqiqah anjuran UiTM Cawangan Sabah yang dilangsungkan di Bukit 2, Perumahan UiTM Sabah berjalan begitu lancar sekali. Sebanyak 6 ekor lembu ditumbangkan pada majlis qurban kali ini, iaitu berkurangan 2 ekor berbanding tahun lepas. Kerja-kerja melapah kesemua lembu siap sepenuhnya pada jam 11 pagi apabila operasi penyembelihan bermula pada jam 8 pagi. Kerja-kerja penyembelihan dan melapah daging turut dibantu oleh beberapa tenaga profesional yang didatangkan khas dari Kota Belud. Semua daging qurban selesai diagihkan kepada kira-kira 160 orang ramai dan juga peserta pada jam 11.45 pagi.

bannerkorban2018

Yang Berbahagia Timbalan Rektor HEA UiTM Cawangan Sabah, Prof. Madya Jasman Jaafar dan Timbalan Rektor HEP, Tuan Haji Sheikh Junaidi Sheikh Mohammad telah sudi menyampaikan sumbangan daging qurban kepada peserta-peserta qurban dan orang ramai sebagai mewakili Yang Berbahagia Rektor, Prof. Madya Datuk Dr. Hj. Abdul Kadir Hj. Rosline yang tidak dapat menghadiri majlis berkenaan.


Berkat kerjasama daripada semua pihak, di samping faktor penetapan ketua bagi setiap kumpulan melapah haiwan qurban, majlis tersebut dianggap berjaya mencapai matlamat yang disasarkan. Sama seperti tahun lalu, ketua ini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap haiwan qurban yang diamanahkan kepadanya; bermula daripada ia disembelih, dilapah hinggalah kepada peringkat akhir, iaitu pembungkusan dan pengagihan.


Semua yang hadir dapat menikmati jamuan tengahari berupa nasi, sup tulang dan lain-lain pada jam 12.30 tengahari. Jemputan jamuan tengahari ini terbuka kepada semua staf UiTM Sabah termasuk yang bukan beragama Islam.