KAMPUSKOTA KINABALU

Image

Di negeri di bawah bayu, kampus cawangan sulung Universiti Teknologi MARA telah pun mula bertapak pada 16 Julai 1973 di pekan Sembulan. UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu (kampus utama di negeri Sabah) pada awal penubuhannya lebih dikenali dengan nama Yayasan Sabah – Institut Teknologi MARA atau singkatannya YS-ITM. Pembukaanya bermula hasil usaha dan kerjasama di antara Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah. Kampus sementara yang terletak di kawasan Sembulan mula beroperasi dengan pengambilan kumpulan pertama pelajar pada bulan Julai 1973. Kuliah di institut ini bermula pada tarikh 26 Julai 1973 dengan pengambilan pertama kumpulan pelajar seramai 157 orang. Kampus ini kemudian dibuka dengan rasminya pada 17 Ogos pada tahun yang sama oleh Ketua Menteri Sabah pada ketika itu iaitu Tun Datu Hj Mustapha bin Datu Harun.

Image
Melihat kepada keperluan yang lebih luas bagi penyediaan ruang pendidikan tinggi kepada anak-anak muda khususnya bumiputera di negeri ini, perancangan dan pembangunan fizikal kampus tetap baharu yang lebih lengkap di Kuala Menggatal telah dimulakan pada Februari 1979. Pembinaan kampus tetap ini dimulakan dengan Istiadat perletakan batu asas oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah pada ketika itu iaitu Tun Mohamad Adnan Robert pada 24 Februari 1979. Pada tahun 1982, kampus tetap di Kuala Menggatal telah siap dibina dan mula beroperasi. Sebahagian besar populasi pelajar telah dipindahkan ke kampus tetap yang berada di Kuala Menggatal setelah pembinaan blok asrama dan kemudahan-kemudahan lain selesai dibina. Proses perpindahan berakhir pada Januari 1992 dan kampus ini beroperasi sepenuhnya di Kuala Menggatal.

HUBUNGI KAMI

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah
Kampus Kota Kinabalu
Beg Berkunci 71,
88997 Kota Kinabalu, Sabah, MALAYSIA.
 
Tel.     : +6088 - 325151
Faks   : +6088 - 513855
E-mel : korporatsabah@uitm.edu.my